mcmc
Kisah KejayaanMaklumat Setempat

KISAH KEJAYAAN

2025 – KEUSAHAWANAN I

Donut Bomboloni & Fluffy

Puan Masliha binti Mustaffa, seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia, kini berjaya mengusahakan Donut Bomboloni & Fluffy di Hulu Langat, yang terkenal dengan bomboloni gebu dan aneka pencuci mulut homemade yang lazat dan berpatutan. Sejak menyertai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) pada tahun 2024, beliau memanfaatkan teknologi ICT untuk memasarkan produk melalui media sosial dan TikTok Shop. Penggunaan platform digital ini telah memperluaskan pasaran perniagaannya, bukan hanya di Hulu Langat, tetapi juga ke kawasan luar yang sebelum ini sukar dicapai. Kehadiran beliau di Bazar Ramadan dan Pasar Malam Nanding semakin menyerlah apabila promosi digital menarik lebih ramai pelanggan ke gerainya.

Melalui NADI, Puan Masliha mempelajari pelbagai kemahiran digital, termasuk pemasaran dalam talian, pengurusan media sosial, dan penggunaan iklan berbayar untuk meningkatkan jualan. Ilmu ini membantunya mengembangkan jenama “Donut Bomboloni & Fluffy Hulu Langat” ke tahap yang lebih tinggi. Dengan bimbingan yang diterima, beliau kini lebih yakin dan celik digital dalam meneroka potensi perniagaan secara dalam talian. Kejayaannya adalah bukti nyata bagaimana penglibatan dengan NADI serta penggunaan ICT mampu memacu transformasi perniagaan mikro kepada kejayaan yang lebih besar.

2025 – KEUSAHAWANAN II

Selvi Vegetarian Cookies

Puan Kalaselvy a/p Kandasamy, seorang pesara guru berusia 65 tahun, kini berjaya mengusahakan perniagaan Selvi Vegetarian Cookies di Hulu Langat, yang terkenal dengan coconut candy dan biskut gula kelapa. Sebelum menyertai NADI, perniagaan beliau dijalankan secara tradisional dengan tempahan diterima melalui telefon dan pertemuan secara langsung. Promosi lebih bergantung kepada jaringan kenalan dan mulut ke mulut. Walaupun perniagaannya berskala kecil, produk beliau yang menggunakan resipi tradisional dan bahan berkualiti tinggi tetap mendapat sambutan, terutamanya sebagai doorgift untuk pelbagai acara.

Sejak melibatkan diri dengan NADI dan memanfaatkan ICT, perniagaan Puan Kalaselvy berkembang pesat. Beliau kini memanfaatkan platform digital seperti TikTok untuk promosi secara langsung dan di feed, serta menggunakan WhatsApp untuk memudahkan urusan tempahan. Penggunaan teknologi ini bukan sahaja mempermudah proses perniagaan, tetapi juga memperluaskan pasaran ke kawasan yang lebih luas. Dengan sokongan NADI, beliau dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan memastikan pelanggan dapat menikmati coconut candy dan biskut gula kelapa dengan mudah dan cepat. Kejayaan Puan Kalaselvy menunjukkan bagaimana teknologi dapat membantu usahawan senior memperkembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.